Cerpen

Kukenali Syukur

(Dara.Com, Disember 2008)


Tidak sampai sejam lagi lagi kami akan melangkah ke pintu balai berlepas di Phnom Penh International Airport itu. Aku duduk mendiamkan diri sambil tanganku menggenggam erat tangan Kak Sakira yang bersama kami pada waktu-waktu terakhir sebelum kami berlepas pulang ke Malaysia. Rumah Kak Sakira adalah rumah pertama yang kami jejaki sewaktu kami tiba di perkampungan muslim yang terletak sepuluh kilometer dari Bandar Phnom Penh.

Fatin dan Izzah kelihatan menghabiskan masa yang singkat itu untuk bersembang-sembang buat kali terakhir dengan sahabat-sahabat Muslim Kemboja yang kami sempat kenali dalam masa tiga minggu ini. Bermacam-macam perasaan hadir dalam hatiku saat ini. Dan perasaan sedih ternyata lebih menguasai diri. Sedih kerana terpaksa meninggalkan mereka sedangkan rasa kasih baru sahaja berputik kepada saudara seagama yang berlainan negara itu. Lebih dua puluh orang yang menghantar kami hingga ke lapangan terbang. Lima, Ratna, Ausmak, Solehah, Azizah, Bukhary, Hussain dan ramai lagi pelajar-pelajar yang sempat kami berkongsi ilmu selama tiga minggu ini yang turut bersama. Fikiranku perlahan-lahan mengimbas kembali sewaktu kami baru sampai ke bumi Kemboja.

* * *

Bunyi kenderaan yang sibuk lalu-lalang di depan gerai makan seolah-olah tidak kudengari. Yang kudengari hanya bisikan hati sendiri yang berbicara menghadapi situasi waktu ini. Di hadapanku telah terhidang dua tiga jenis lauk dan nasi sepinggan seorang untukku, Fatin dan Izzah sebagai makan tengahari kami di Bandar Phnom Penh hari itu. Fatim dan Izzah sudah mula menyuap namun wajahku yang monyok jelas memberitahu kawan-kawanku betapa tidak selesanya diriku untuk makan di situ dan hidangan yang sama sekali tidak kena dengan seleraku. Pinggan mangkuk yang usang dan gelas yang kelihatan kehitam-hitaman pada pemegangnya.

Dan ku menoleh ke bungkusan sampah yang berlonggok di satu sudut depan kedai. Ada beberapa pelanggan lain yang sedang makan dan ada juga yang beli dan bungkus untuk dibawa pulang. Kakiku hanya menguis-nguis lantai dan wajahku terus ku tundukkan. Hatiku berasa jengkel, “Masakan aku ingin makan di tempat kotor sebegini?” Hatiku bertanya sendiri. Lauk pauk yang ada juga langsung tidak menjemput seleraku untuk menikmatinya.

“Mira, makanlah… tak baik buat macam tu depan rezeki. Kita kan kat tempat orang..” Tegur Fatin bila melihat diriku yang masih membatu.

Aku mendekatkan pinggan dan mula mencicip ikan yang ada di dalam piring. Aku sempat melontar pandangan ke Hotel Phnom Penh yang teguh berdiri di hadapan gerai. Aku hairan bagaimana gerai yang hanya seluas sekangkang kera ini boleh hidup di sebelah hotel empat bintang ini. Proses pembangunan yang kelihatan tidak teratur sama sekali, mungkin inilah kesan selepas negara Kemboja melalui zaman gelap pemerintahan rejim Pol Pot pada akhir tahun 70an dulu.

“Semalam kita dah makan di tempat yang best, mahal, hari ni kita cuba makan di sini pulak...” Kata-kata Fatin terus kedengaran. Izzah kelihatan kusyuk dan berselera menikmati hidangan tengahari itu.

“Masa kat Malaysia, awak yang ingatkan kami supaya bersedia terima apa pun cabaran. Awak risaukan kami tak lalu nak makan makanan kat sini. Sekarang siapa yang tak lalu nak makan?” Kedengaran sinis kata Izzah, dan mukaku bertambah monyok tapi terpaksa ku telan kata-katanya. Memang benar, semasa di Malaysia, Izzah terutamanya yang cerewet memilih makanan. Banyak sangat pantang larang dalam makanan, panjang senarai makanan yang tak disukai.

Aku sering merasakan diriku seorang yang mudah menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan tapi mungkin aku tersilap kali ini. Baru diajak makan ke gerai yang agak daif ini, hati ku rasa menolak dan sedikit memberontak. Bukannya sengaja kami memilih gerai yang sebegini namun inilah gerai makanan halal yang terdekat dengan penginapan kami. Kedai makanan halal yang lain terletak agak jauh dan jauh lebih mahal.


“Yelah..yelah...,” ujarku perlahan. Kusuap juga nasi ke mulut walau terasa tidak diterima tekak.

Semalam, dari lapangan terbang kami dibawa minum petang di Buble Tea Restaurant dan malamnya kami makan di Mekong Restaurant. Di tingkat atas restoran terletaknya Mekong Guesthouse yang menjadi tempat penginapan kami untuk tiga minggu ini. Makanannya sedap dan tempatnya bersih lagi selesa tapi harganya agak mahal bagi kami yang bermusafir dengan bajet yang minima. Mana mungkin kami mampu makan di situ setiap hari.

Manakala gerai untuk makan tengahari ini terletak bersebelahan tempat penginapan kami. Gerai kecil ini menjadi pilihan pelajar universiti-universiti berdekatan dan pemandu-pemandu tut-tut yang mencari rezeki membawa motor yang boleh dibonceng dua orang di belakangnya. Satu pemandangan baru bagiku, kerana di Malaysia sebuah motosikal hanya dinaiki oleh dua orang di jalan-jalan besar, bukan bertiga seperti biasa yang kelihatan di Bandar Phnom Penh ini.

Kelihatan seorang lelaki sambil menggendong anaknya berjalan menuju ke arah meja kami lalu menadah tangan. Di belakangnya ada seorang wanita yang memimpin dua orang kanak-kanak. Dengan gaya berpakaian yang lusuh dan rambut yang tak terurus, dapat kami mengagak. Mereka meminta sedekah. Izzah memberi isyarat agar aku memberi sedikit wang kepada mereka.

Aku mencari-cari wang seribu riel yang bersamaan dengan RM1 dalam beg duit tapi aku hanya mempunyai kepingan-kepingan satu dollar yang ku rasa terlalu besar untuk ku beri pada mereka lalu aku memberi isyarat tidak ada kepada mereka. Mereka berpusing dan pergi melangkah dalam terik matahari dengan wajah yang hampa. Mungkin dari gaya kami berpakaian mereka mengenal kami sebagai pelancong asing yang sering membawa ‘banyak duit’, maka kami menjadi sasaran untuk diminta sedekah.

Aku menolak pinggan nasi ketepi. Cukuplah sekadar itu yang mampu ku telan. Dan aku memandang kosong ke pingganku yang masih berisi separuh nasi. Peminta sedekah yang berkeliaran adalah pemandangan yang biasa di bandar ini. Itulah satu perkara yang ku sedari setelah lebih dua puluh empat jam di bumi Phnom Penh ini. Meminta sedekah perkara biasa bagi mereka, baik yang dewasa, terlebih lagi kanak-kanak. Dan adakah membazir pula perkara biasa bagiku? Getus hatiku.

Waktu makan malam tadi aku tidak menghabiskan nasi dan tomyam yang dipesan kerana rasa terlalu kenyang. Dan sekarang aku juga tidak menghabiskan nasi kerana tidak kena dengan selera ku. Tiba-tiba terdetik rasa bersalah di hatiku. Di sini terlalu payah mendapatkan sesuap nasi, aku pula dengan mudah membazir.

Aku segera memandang ke arah peminta sedekah yang membawa keluarganya. Mereka kelihatan duduk berteduh di bawah sebatang pohon di luar pagar Hotel Phnom Penh. Hatiku terus digigit rasa bersalah. Mungkin mereka belum menjamah apa-apa sejak pagi tadi. Sedangkan aku yang duduk di depan makanan tidak pula pandai menghargai.

Aku mengeluarkan wang satu dollar dan terus bangun berjalan menuju ke arah mereka. Fatin dan Izzah serentak bertanya, “Nak ke mana?”. Aku memuncungkan mulut menunjuk ke arah pengemis. Aku terus menyerahkan duit satu dolar kepada keluarga itu dengan harapan ia akan membantu mereka mendapatkan sedikit makanan untuk tengahari itu, walaupun ku tahu ia takkan membantu untuk jangka masa yang panjang.

Kami kemudian berkesempatan ke hostel pelajar Muslim di Bandar Phnom Penh itu yang terletak di Boeungkak, jaraknya sepuluh minit berjalan kaki dari penginapan kami. Sekali lagi kesedihan bertamu di hatiku bila melihat keadaan hostel mereka dari luar. Majoriti yang tinggal di asrama adalah pelajar lelaki seramai lebih lima puluh orang dan hanya ada dua bilik yang tidak sepadan untuk menampung jumlah mereka yang seramai itu. Dan pelajar perempuan pula seramai tujuh orang tinggal di bilik yang sepatutnya menjadi tempat menginap pengurus asrama. Namun pengurus asrama mengorbankan biliknya untuk memberi ruang kepada pelajar perempuan itu menginap. Pengurus sendiri hanya tidur di pejabat pentadbirannya.

Kami meminta izin untuk menumpang solat di dalam bilik asrama pelajar perempuan. Dahiku sedikit berkerut bila melangkah masuk ke bilik kecil itu kerana bilik itu berbau tidak menyenangkan dan aku juga hairan bagaimana mereka tujuh orang boleh tinggal di bilik yang sempit itu. Ada satu katil queen size tanpa tilam, hanya beralas tikar mengkuang, ada dua almari pakaian dan ada dapur gas serta bekas-bekas berisi bahan masakan. Berhampiran pintu ada satu meja yang disusun buku-buku di atasnya. Kami lalu solat bergilir-gilir di atas katil beralas tikar mengkuang kerana di atas lantai tiada ruang untuk solat.

Di universiti kami di Kuala Lumpur, bilik sebesar ini hanya memuatkan dua orang pelajar, dan hostel kami dilengkapi dengan ruang belajar, dapur, katil, sofa dan lain-lain kemudahan yang amat menyelesakan. Terlalu jauh berbeza dibandingkan dengan keadaan mereka di sini. Kami tidak dapat berbual banyak kerana bahasa menjadi penghalang, namun senyuman yang mesra dan hangat dari mereka cukup untuk memberitahu kami bahawa mereka gembira dan mengalu-alukan kedatangan kami.

Kami juga berkempatan ke salah satu perkampungan Muslim. Sekali lagi hatiku dicuit-cuit dengan kesedihan melihat daifnya sekolah atau dipanggil madrasah tempat anak-anak muslim belajar. Hanya satu bangunan batu yang kecil dengan kerusi kayu dan papan tulis yang berlubang-lubang. Lantainya penuh debu mungkin kerana jalan di kampung tersebut yang masih bertanah merah.

Namun wajah jujur anak-anak yang senyum gembira melihat kedatangan kami menceriakan hatiku Kami juga berkesempatan menziarah satu dua rumah para pelajar yang juga kelihatan daif. Rumah yang berbentuk segi empat, hanya ada ruang tamu dan dapur yang kecil. Tiada bilik-bilik atau tandas yang baik. Tiada sofa, tiada katil apatah lagi tilam. Aku menangis dalam hati... segalanya serba daif di sini. Terlalu ketinggalan berbanding kehidupanku di Malaysia. Ada kediaman yang baik, mendapat peluang pendidikan yang baik, punya banyak keistimewaan kerana majoriti penduduk adalah Melayu Muslim yang dijaga hak-haknya dengan Perlembagaan.

“Kak Mira beruntung lahir di Malaysia, hidup senang, dapat belajar dengan baik. Kami nak makan pun susah, apatah lagi nak fikir sambung belajar...” ucapan yang sering terluah dari bibir remaja-remaja itu. Wajah polos mereka ku pandang dengan hati yang gerimis. “Malangnya adikku, diri ini tidak pernah rasa bersukur atas apa yang kalian ungkapkan.” Bisik hatiku.

Kembaraku yang pertama kali keluar dari bumi Malaysia ini benar-benar menerbitkan rasa bersyukur yang teramat besar dalam diriku. Mungkin buat kali kali pertama dalam hidup aku rasa bertuah menjadi anak Malaysia, lahir bukan pada zaman penjajahan, celik mata sudah terbentang segalanya, kesenangan dan keselesaan walaupun tidak semewah mana. Aku tidak perlu melalui kesukaran yang getir seperti yang dilalui anak-anak Muslim Kemboja ini.

Aku juga berasa kagum dengan semangat dan kesungguhan beberapa pemimpin pelajar Muslim di sini. Seawal usia dua puluhan mereka serius merancang dan melaksanakan program-program untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk kampung terutamanya di bahagian pedalaman. Mereka juga serius melontar pandangan dan bertukar idea memikir cara terbaik supaya anak-anak di kampung dapat diberi pendidikan sebaiknya.

Fikiranku melayang kepada anak-anak muda di Malaysia, sebahagian mahasiswa mahasiswi lesu dan jumud kerana tidak menggunakan waktu di kampus untuk mempertingkat ilmu dan kemahiran-kemahiran lain sewajarnya. Arus kesenangan bersalut kemodenan di negaraku mengheret anak-anak muda yang alpa ke dunia hiburan dan keseronokan yang berlebihan hingga jati diri mereka luntur perlahan-lahan. Mentaliti dan akhlak sebahagian mereka secara halus dirosakkan oleh hasil kemajuan yang pesat di sebalik peluang pendidikan dan pekerjaan yang baik.

Satu petang yang redup, aku dan Fatin mengambil kesempatan berbasikal dari tempat penginapan kami ke pesisir Sungai Mekong yang terletak di hadapan Istana Raja. Izzah tidak ikut kerana dia memilih untuk keluar ke Central Market bersama Solehah saudara Kemboja yang kami kenali. Sambil memakai penutup hidung kami menempuh jalan raya yang sesak lagi sangat berhabuk untuk sampai ke tepi sungai yang menjadi tempat berkumpul orang ramai menikmati angin petang yang segar. Di tepi Sungai Mekong yang luas itu fikiranku berputar mengingat perkara yang berlaku bulan lepas. Perkara yang sangat menyedihkan bagiku.



 

“Fik, Mira tak suka cara Fik berhubung dengan Sarah. Mira rasa Fik terlalu rapat dengan Sarah,..studi bersama... keluar makan bersama... banyak masa Fik habiskan dengan dia.. Mira jeolous...” mendatar sahaja suaraku. “Mira tau kan, Sarah kawan baik Fik..dia banyak tolong studi Fik.. Mira kena faham..” Fikri menjawab tenang.

“Mira pun nak sangat jumpa Fik, nak sangat keluar berdua dengan Fik,..tapi kan kita dah janji tak nak keluar berdua-duaan selagi tak ada hubungan yang sah.. tapi Fik dengan Sarah rapat sangat.. hari-hari jumpa…” ucapku penuh emosi.

“Fik..boleh tak Fik tak payah kawan lagi dengan Sarah..? Mira jaga diri baik-baik kat sini.. Mira tak berkawan rapat dengan mana-mana lelaki.. Mira pun nak Fik ada Mira seorang je,...” tambahku lagi. Air mataku mula menitis. Aku rasa kecewa setelah hampir dua tahun usia perhubungan ini, Fikri seolah-olah tidak memahami perasaanku. Fikri semakin rapat dalam ‘persahabatannya’ bersama Sarah. Sejak akhir-akhir ini aku tidak dapat membendung keraguan dan kecemburuan pada sejauhmana ketelusan hubungan mereka yang dikatakan tidak melebihi persahabatan.

“ Apapun Sarah tetap sahabat Fik...Fik tak akan putus kawan dengan dia..” ujar Fikri. “Maknanya Fik akan semakin rapat dan intim dengan dia...habis Mira ni siapa?” dengan suara yang tertahan-tahan aku meluahkan.

“Mira..jangan menangis..dengar ni. Mira tetap yang paling istimewa pada Fik. Kitakan nak kahwin.. mak ayah pun dah setuju kita bertunang tak lama lagi.. Mira tak sama macam kawan-kawan perempuan Fik yang lain. Mira sorang yang Fik sayang.. tapi Fik tak boleh tinggalkan Sarah. Fik perlukan dia untuk bantu Fik studi Fik ..” perlahan-lahan Fik memujukku. Dan rupanya itulah antara perbualan terakhirku dengan Fikri. Fikri yang menjadi teman sejak sekolah menengah dan menjadi kekasih hati sejak dua tahun lepas .


Airmataku menjadi sangat murah selepas peristiwa itu. Emak dan adikku gusar melihat mataku yang bengkak kerana menangis bila ku pulang ke kampung hujung minggu itu. Kesedihan ku tak dapat ditahan-tahan kerana hubungan yang terbina akan sampai ke penghujungnya. Fikri telah menjadi sesorang yang sangat istimewa dalam hidupku dalam dua tahun ini. Aku sangat menyayanginya sejak dia menyatakan hasrat untuk menjadikan ku isterinya selepas kami habis belajar hujung tahun ini. Aku menghargai kejujurannya bercerita tentang kehidupan sehariannya di universiti di utara tanah air, tentang studinya yang merosot dan tentang bantuan Sarah yang banyak hingga dia dapat memperbaiki pelajarannya. Tapi dari cerita-ceritanya sejak kebelakangan ini tentang persahabatannya dengan Sarah, hatiku tidak dapat menerima.


Fikri beberapa kali mengajakku keluar berdua untuk berjumpa tapi tidakku penuhi permintaannya. Sejak akhir-akhir ini aku mula merasakan tidak wajar untukku sebagai seorang muslimah keluar berdua-duan dengan lelaki yang bukan muhrim walaupun Fikri itu bakal menjadi suamiku.

Kelas-kelas pengajian agama yang aku ikuti saban minggu di kampus kebelakangan ini membuatkan aku mula berfikir kewajaranku kerap berhubung dengan Fikri melalui telefon, berbual berjam-jam lamanya tanpa tujuan yang jelas sekadar mendengar suara melepas rindu. Mula timbul rasa bersalah di hatiku memikirkan masa-masa berdua yang ku habiskan bersama Fikri walaupun sekadar keluar makan dan berjalan-jalan di khalayak ramai.

“Dan adakah kerana aku menolak untuk keluar berdua, dia merasa senang dapat berdua-duaan dengan Sarah?” Timbul rasa geram yang amat sangat pada Sarah kerana merelakan diri keluar dan menghabiskan masa bersama Fikri sedangkan Sarah tahu status kami yang mempunyai hubungan istimewa. Hatiku terasa sakit, sedih dan terluka dengan hubungan yang terjalin antara mereka. Dan tingkah Fikri yang sering mempertahankan Sarah menambahkan lagi kelukaanku.

Dengan hati yang berat ku ambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Fikri. Aku tidak mahu lagi bergantung kasih pada dahan yang rapuh. Aku tidak mahu diri terumbang-ambing dalam perasaan duka nestapa kerana rasa cinta yang terasa tak dihargai. Sedangkan bila-bila masa Sarah boleh mengambil alih tempatku di hati Fikri. Sarah sentiasa ada di depan mata, sedangkan diriku dan Fikri terpisah beratus-ratus kilometer di antara utara dan selatan.

Sebelum Fikri meninggalkan diriku, lebih baiklah aku yang mengundur diri dan merawat hati. Fikri terkejut dan merayuku untuk menarik balik keputusanku, hingga aku rasa ingin berubah hati. Lagipun aku sangat sayangkan dia, dan dia seorang lelaki yang baik pada pandanganku dan ibubapaku.

Namun aku teguhkan diri dengan keputusanku. Kuingat kembali pesan Kak Fatimah senior yang kuhormati kerana akhlaknya dan pencapaian akedemiknya yang baik, “Kalau dia seorang lelaki yang baik, dia akan menjaga maruah Amira sebagai seorang perempuan. Dia akan menghormati pendirian Amira untuk tidak mahu keluar berdua-duaan. Bukan tidak boleh berjumpa, tapi perlu ada orang ketiga.” Aku memberitahu Kak Fatimah yang Fikri tidak mahu ada orang ketiga dalam pertemuan-pertemuan kami.

“Tapi kak, dulu saya tak kisah keluar berdua...”

“Itu dulu...kita jadikan pengajaran. Manusia itu sentiasa ada ruang untuk memperbaiki diri dan keaadaan... Sekarang Amira dah sedar dan tahu yang seorang perempuan itu ada izzah, ada harga diri sebagai muslimah. Amira pun cakap pada akak yang Amira nak jaga pergaulan dengan lelaki, nak jaga kesucian hati.

Walaupun Fikri itu bakal menjadi suami Amira, tapi itu belum pasti lagi...Lebih-lebih lagi sekarang ni dia juga rapat dengan perempuan lain. Jadi buat masa ini, akak nampak yang terbaik ialah Amira menamatkan hubungan... Memang, bukannya mudah, tapi Amira kena sabar banyak-banyak dan doa pada tuhan agar diberi kekuatan....” Nasihat kak Fatimah lagi.

Dua minggu sesudah itu berlalu dihiasi air mata. Aku rasa ingin sahaja menyambung kembali hubunganku dengan Fikri, namun bila ku ingatkan hubungannya dengan Sarah, betapa dia ingin terus bersahabat dengan Sarah, biarlah dia dengan persahabatannya itu. Aku berjanji untuk menjaga diri dan hatiku baik-baik, insyaALLAH diri dan hatiku ini hanya untuk lelaki yang halal yang ALLAH takdirkan menjadi pendamping hidupku.

Sungguh hatiku terasa lemah menghadapi perpisahan tersebut. Mungkin kerana aku tidak pernah menjangkakan perpisahan. Beberapa kali hatiku tergugat, aku ingin kembali menghubungi Fikri agar hubungan kami boleh bertaut kembali. Banyak janji-janji dan harapan yang telah kami bina bersama kini menjadi selumbar yang menyucuk-nyucuk jiwaku.

Namun ku pujuk hati bahawa akan ada lelaki lain yang lebih baik ALLAH sediakan buat diriku. Dalam kegundahan dan airmata, hari-hari sedih itu juga sebenarnya menjadi hari-hari yang mendekatkan diriku kepada ALLAH. Kepadanya Yang Maha Pengasih ku adukan kedukaan atas kehilangan sesuatu yang amat kusayang. Kepada ALLAH ku bisikkan lafaz taubat memohon kesucian hati dan diri atas kesilapan-kesilapanku.

Dengan hati yang rendah dan kusyuk ku mohon petunjuk serta bimbingan ALLAH dalam ku mengharungi liku-liku kehidupan. Aku sedar bahawa hati yang berharap pada manusia akan kecewa namun hati yang bergantung pada ALLAH akan merasa tenang dan yakin bahawa ada kebaikan dalam semua perkara yang terjadi.

Dan dalam kesedihan menghadapi perpisahan, aku melalui musim peperiksaan akhir semester. Dan beberapa hari selepas tamat peperiksaan, aku bersama-sama Fatin dan Izzah terbang dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh. Kami dihantar oleh satu NGO yang kami sertai untuk menjalankan kajian tentang Melayu Muslim Champa yang menjadi grup minoriti di Kemboja.

Dan beberapa hari yang telah aku lalui di bumi Kemboja ini benar-benar membuka mataku tentang sisi lain kehidupan. Sewaktu saudara semuslimku di sini melalui kehidupan yang tertekan kerana kemiskinan, diriku hanya memikirkan kekecewaan diri sendiri kerana cinta yang tidak kesampaian.

Sewaktu saudara-saudara seusiaku memikirkan dan berjuang membangunkan generasi yang ketinggalan, aku tidak habis-habis melayan emosi sendiri yang tiada kesudahan. Sebahagian mereka mengenepikan agenda peribadi kerana mengambil berat keadaan masyarakat, namun aku hanya bergelumang dengan agenda peribadi hingga hilang sensitivitiku untuk terjun memperbaiki kelemahan yang terjadi dalam masyarakat. Sewaktu mereka berusaha keras mencari sesuap nasi, aku pula merungut-tungut dengan makanan yang sedia terhidang yang bukan jadi pilihan. Sedangkan mereka tiada pilihan.


* * *

Waktunya telah tiba untuk kami berangkat. Kami bersalaman dan berpelukan seeratnya dengan saudara-saudara perempuan. Airmata yang bergenang ku tahan agar tidak tumpah. Aku tidak mahu airmataku menambahkan lagi kesedihan yang terpamer di wajah mereka. Tiga minggu di sini terlalu bermakna dalam hidupku.

Jauh di sudut hati aku berjanji akan datang lagi ke bumi Kemboja ini. Aku ingin bertemu lagi saudara-saudara untuk turut merasai kesusahan mereka melalui kehidupan. Aku tidak sanggup memandang Izzah yang wajahnya sudah dibasahi airmata melangkah masuk ke balai berlepas. Fatin kelihatan lebih bertenang memberi senyuman terakhir kepada semua yang menghantar kami.

Terasa berat untuk melangkah namun langkah diteruskan tanpa ku menoleh lagi ke belakang. Izzah yang berjalan di hadapanku beberapa kali menoleh kebelakang dengan air matanya yang terus mengalir. Dia melambai-lambai tangan hingga mungkin mereka tidak lagi kelihatan di pandangan. Izzah sememangnya sangat rapat dan ceria melayan para pelajar tersebut sepanjang berada di Phnom Penh. Maka tidak hairanlah dia awal-awal lagi menunjukkan kesedihan yang amat sangat untuk berpisah.

Sebaik melepaskan punggung ke kerusi dalan kapal terbang, aku menutup muka dengan tapak tangan dan air mataku mengalir tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Fatin mengusap-usap bahuku memberi sedikit ketenangan untuk mengendurkan emosiku yang bercampur baur. Dia menghulurkan sehelai tisu kepadaku.

Dari atas kapal terbang, aku melempar pandangan keluar tingkap. Jiwa terasa lapang melihat kepulan-kepulan awan yang menjadi salah satu bukti kehebatan ALLAH. Aku pulang dengan jiwa dan perasaan baru yang lebih teguh.

Kepedihan hubungan cinta yang terputus di tengah jalan bukan lagi perkara yang menghuni di hatiku. Biarlah kesedihan itu berlalu. Cerita cinta dua manusia ku tinggalkan berterbangan di angin bandar Phnom Penh yang sesak. Aku kini pulang dengan dengan rasa syukur yang baru bertamu selembutnya di sanubariku. Rasa yang mengajarku untuk lebih menghargai apa yang telah kumiliki.

Mataku lebih terbuka bahawa terlalu banyak potensi dan kurnia ALLAH untuk ku garap dan sebarkan pada mereka yang memerlukan. Masa muda dan bertenaga perlu aku manfaatkan secara optima agar aku boleh memberi manfaat pada orang lain.

Terasa singkat perjalanan dua jam. Sayup-sayup kelihatan di bawah sana bumi Malaysia yang permai kehijauan. Hatiku terasa sejuk dengan ketenangan dan kebahagian, terima kasih tuhan, perjalanan hambaMU kali ini sarat pengajaran.

“Ampuni diriku Ya Allah...betapa aku tidak mensyukuri selautan nikmat yang telah Kau curahkan dalam kehidupan ku. Hingga aku hanya mampu menangisi apa yang telah tiada sedangkan jarang sekali aku menghitung nikmat dariMu yang tidak putus...Aku belajar Ya ALLAH tiada apa yang akan menjadi hak milik kekal melainkan segalanya adalah pinjaman dariMU dan Kau berhak menariknya bila-bila masa...kebaikan dan kegembiraan itu segalanya kurnia dariMU Ya ALLAH”.


“Ya ALLAH bantulah aku untuk sentiasa mensyukuri nikmatMu... tunjukilah diriku.. bantulah saudara-saudara muslimku di bumi Kemboja, juga di Malaysia... bimbing dan teguhkanlah langkah kami dalam mengubah kehidupan kami..”.



                      *************** tamat *********************

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...